Ads Top

Penyerang Tempatan Harus Segera Bangkit



Tamat sudah perlawanan pusingan kedua Shopee Piala FA yang berlangsung hujung minggu lalu. Sekarang, fokus peminat bola sepak Malaysia beralih kepada saingan perlawanan minggu kelima Unifi Liga Super 2018 yang akan berlangsung hujung minggu ini. Sudah memasuki minggu kelima perlawanan liga, carta penjaring terbanyak masih lagi dikuasai oleh penyerang import. Di sini, penyerang tempatan harus segera bangkit jika tidak mahu ketinggalan.

Setakat ini, hanya dua pemain tempatan yang menjaringkan lebih dari satu gol dalam saingan Liga iaitu Mahali Jasuli dan Syahmi Safari. Kedua-dua pemain ini bukanlah pemain penyerang. Penyerang yang selalu dipanggil untuk mewakili skuad kebangsaan seperti Hazwan Bakri, Safee Sali, Shahrel Fikir Fauzi dan Darren Lok dilihat masih lagi gagal untuk menyerlah dalam Liga setakat ini. Hanya Safee Sali saja yang berjaya menjaringkan satu gol. Ini adalah situasi yang amat merisaukan peminat bola sepak negara.

Jika kita melihat kepada barisan serangan yang diturunkan kesebelasan utama pasukan Liga Super, kesemuanya dibarisi oleh penyerang import. Ini sedikit-sebanyak menjejaskan peluang penyerang tempatan untuk tampil dalam kesebelasan utama sekaligus membuktikan bahawa mereka mampu untuk menyerlah dan juga menjaringkan gol. Malah, bukan saja saingan Liga situasi ini berlaku. Dalam perlawanan Piala FA pusingan kedua minggu lalu, rata-rata pasukan Liga Super menurunkan penyerang import mereka dalam kesebelasan utama. Seperti contoh pasukan Melaka United. Mereka menentang pasukan dari Liga Sosial iaitu Southern FC. Tetapi mereka menurunkan Yahor Zubovich di bahagian serangan. Mereka boleh saja menurunkan Nurshamil Abdul Ghani bagi digandingkan dengan Fauzi Roslan berbanding Zubovich.

Bagaimana untuk penyerang tempatan kita berada setanding dengan penyerang import dalam saingan Liga ? Persoalan ini selalu berlegar di fikiran peminat setiap musim. Ada yang berpendapat jawapan kepada soalan ini terletak di bahu pemain itu sendiri. Ada juga yang berpendapat jawapan kepada persoalan tersebu hanya jurulatih saja yang boleh menjawabnya. Akhir sekali, apabila soalan ini ditujukan kepada pemegang taruh Liga Malaysia, sudah pasti mereka akan berada dalam posisi “denial”. Akan tetapi, jika mereka boleh menjawab, maka misteri paling besar dalam bola sepak Malaysia akhirnya bakal terunkai.

Apa pula pendapat anda mengenai permasalahan ini ? Menurut anda, apa langkah yang wajar diambil bagi menyelesaikan masalah ini ?

Sumber http://inikanbola.my

Tidak ada komentar:

Diberdayakan oleh Blogger.